Friday, July 22, 2011

TEKS UCAPAN YB Tan Sri sempena Penutupan Bengkel RAS Peringkat P.182 Pensiangan

TEKS UCAPAN
YB TAN SRI DATUK SERI PANGLIMAJOSEPH KURUP
TIMBALAN MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN BENGKEL RAKAN ALAM SEKITAR PENSIANGAN
22 JULAI 2011 (JUMAAT)
HOTEL JUTA, KENINGAU

Terima kasih saudara/i Pengacara Majlis

Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia,

Pertamanya saya berasa syukur dan berterima kasih kerana berpeluang untuk bersama-sama tuan-tuan dan puan-puan sekalian pagi ini. Program ini sangat bermakna bagi saya kerana ia merupakan suatu usaha yang sebenarnya for the future atau untuk masa depan. Ini kerana hasil program ini bukanlah sesuatu yang boleh diperoleh secara serta merta, esok, mahupun minggu depan. Namun ia sesuatu yang penting dan perlu dibuat demi untuk kesejahteraan generasi akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Seperti yang kita semua sudah maklum sekarang, Program Rakan Alam Sekitar(RAS)ini merupakan salah satu daripada inisiatif Kerajaan yang secara amnya bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap isu-isu alam sekitar.

Sememangnya terdapat pelbagai strategi untuk mencapai sasaran ini, namun kita di Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitarpercaya bahawa laluan terbaik adalah dengan memberikan perhatian yang lebih terhadap golongan muda, khususnya para pelajar sekolah, di sekolah rendah mahupun menengah.

Ini kerana kita menyedari bahawa tahap keperihatinan (awareness) dan sifat ingin tahu dikalangan kanak-kanak dan remaja terhadap keadaan sekeliling mereka adalah sangat tinggi berbanding dengan kita yang sudah berumur ini. Maka sifat ingin tahu atau curiousity dan awareness inilah yang perlu digilap, dibimbing dan digunakan dengan baik dan positif.

Sering kali, orang dewasa kurang peka kepada apa yang sedang berlaku di persekitaran kita mungkin kerana terlalu sibuk bekerja, menguruskan rumahtangga, perniagaan dan sebagainya. Oleh yang demikian, kita dapati orang dewasa sering terlepas pandang atau “tak perasan”. Lebih buruk lagi, ramai yang mengambil sikap “tidak apa”. Saya bukanlah mahumenyalahkan sesiapa tetapi harus mengakui bahawa kadang-kadang ramai antara kita yang bimbang dilihat sebagai “suka menyibuk” sehingga kita tidak mengambil tahu langsung apa yang berlaku di sekeliling kita.

Lebih buruk lagi, ada juga orang yang sengaja mengada-adakan cerita, mendakwa itu ini dan secara langsung menuduh pihak-pihak tertentu membuat sesuatu yang menyalahi undang-undang kerana mereka ini mempunyai agenda tertentu.

Tetapi bukan kanak-kanak atau pelajar sekolah. Jika sesuatu laporan atau makluman disampaikan oleh anak-anak kita. Ia lebih mudah dipercayai kerana semestinya mereka ini tiada agenda jahat. Tidak diwarnai fahaman politik dan sebagainya. Cuma apa yang boleh dipertikaikan adalah tahap pengetahuan mereka. Sama ada mereka faham yang mereka lihat, dengar atau rasa.

Maka, oleh kerana itulah kita memilih untuk meningkatkan fokus kita terhadap para pelajar sekolah dengan cara menyampaikan kepada kumpulan ini ilmu dan pengetahuan yang betul. Supaya mereka tahu apa yang dilihat, tahu apa tindakan yang betul, bagaimana untuk membuat laporan dan sebagainya.

Menyedari hakikat ini, kita sedar bahawa orang yang paling dekat dengan para pelajar, selain dari keluarga mereka sendiri, adalah guru-guru sekolah mereka. Sebab itulah saya telah meminta supaya diadakan suatu kursus atau bengkel khas diberikan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian supaya tujuan dan mekanisme program ini lebih jelas dan seterusnya membantu kita mencapai sasaran-sasaran tadi dengan cepat dan berkesan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Saya juga sedar bahawa tugas serta tanggungjawab sebagai guru pada masa sekarang pun merupakan sesuatu yang kompleks, berat lagi rumit. Kita bukanlah mahu menambah tekanan atau beban kerja guru-guru sekalian.

Sebenarnya banyak komponen program ini yang boleh dijadikan sebahagian dari bahan untuk mengajar juga. Dalam program ini, para pelajar juga secara langsung didedahkan dengan elemen sains, biologi, kimia, skil menulis laporan, keushawanan dan lain-lain lagi.

Tidak kurang pentingnya, ia juga menuntut supaya para pelajar bekerja sebagai satu pasukan bagi mencapai sasaran-sasaran yang ditetapkan. Pendek kata, mereka didedahkan dengan aktiviti yang bukan sahaja menyeronokkan, bahkan mampu memupuk semangat kepimpinan, berdikari, dan kreativiti.
Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya berasa yakin tuan-tuan dan puan-puan akan mampu mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang bengkel ini. Saya mengucapkan terima kasih dan syabas atas komitmen semua yang terbabit termasuklah kepada para pegawai dari Semenanjung yang datang menjayakan program kita ini.

Saya ingin nyatakan disini bahawa ini bukanlah kali terakhir mereka akan datang. Pada masa akan datang, kita akan melawat pula ke sekolah tuan-tuan dan puan-puan. Saya mahu meninjau sejauh mana minat dan kreativiti semua peserta. Saya pasti tuan-tuan dan puan-puan akan menunjukkan komitmen yang membanggakan.

Tidak lupa juga penghargaan saya kepada pihak Chemical Company of Malaysia (CCM) atas sokongan, dan penglibatan aktifnya dalam Program RAS khususnya bagi kawasan Parlimen P.182 Pensiangan. Sesungguhnya sumbangan pihak CCM merupakan contoh tauladan yang baik kepada lain-lain badan korporat.

Dengan itu, saya dengan sukacitanya menutup Bengkel Training-for- Trainers Rakan Alam Sekitar Parlimen Pensiangan, pagi ini.

Sekian, terima kasih.

No comments: