Monday, July 11, 2011

Tumulai FC serlahkan bakat

Pengurus Pasukan Tumulai FC, Empir Andingos menerima hadiah kemenangan untuk pasukannya dari Ketua Pemuda Umno Pensiangan, Mohd Shafiq Joseph Peter Tinggi. Turut kelihatan Ketua Pasukan, Gaster Empir dan anggota Tumulai FC.



Keningau : Pasukan Tumulai FC sekali lagi membuktikan mereka adalah pasukan terbaik di pedalaman apabila menempa kejuaraan sekali lagi disini. Pasukan Tumulai FC dari Daerah Kecil Pagalungan membuktikan kawasan terpencil yang serba kekurangan dari segi padang berjaya buktikan kekurangan tersebut bukanlah alasan untuk muncul juara.

Tumulai FC yang diketuai oleh Gaster Empir berjaya membawa pasukannya mara dan menjuarai Piala Pemuda UMNO- BN Malaysia yang dianjurkan oleh Pemuda BN Pensiangan sempena lawatan Ketua Pemuda BN , Khairy Jamaludin di Kg.Penagatan Ulu dalamn kawasan P.182 Pensiangan.

Pengurus Pasukan Tumulai FC, Empir Andingos berkata, pasukan yang terdiri dari ahli-ahli pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.38 Nabawan itu sebelum ini menjuarai Piala Presiden PBRS tahun lalu.

“ Namun kami tidak leka dengan kemenangan berganda ini sebaliknya pasukan ini akan terus menyertai mana-mana pertandingan bola sepak bagi menyerlahkan lagi bakat dan kebolehan mereka,” kata Empir yang juga Penolong Ketua Penerangan PBRS Nabawan, yang bertanggungjawab membentuk pasukan tersebut di kalangan anak-anak muda di kawasan Mukim Pagalungan.

“Kita mahu buktikan yang anak-anak muda di kawasan pedalaman terutama di Pagalungan mempunyai kebolehan mereka tersendiri dan mudah mudahan ada diantara mereka akan bermain di peringkat yang lebih tinggi satu masa nanti,” kata Empir.

Sebanyak 38 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut. Johan menerima hadiah berupa wang tunai RM1500 , Piala dan hadiah iringan. Sementara Naib Johan ialah Rimbayan FC ( RM1000) dan di tempat ketiga Biah Skim FC (RM500) berserta piala dan medal.

No comments: