Thursday, July 29, 2010

PBRS Sook dan Nabawan adakan AGM sabtu

Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) bagi kawasan N.37 Sook dan N.38 Nabawan akan mengadakan Mesyuarat Perwakilan Tahunan mereka Sabtu ini.
Pengerusi Penganjur, Datuk Ellron Angin, yang juga Timbalan Presiden PBRS berkata, PBRS bahagian Sook akan mengadakan mesyuarat kali ke tujuh sementara Nabawan kali ke 14. Kedua-dua bahagian itu akan mengadakan mesyuarat secara berasingan sebelum dirasmikan penutupannya di Dewan Masyarakat Sook pada hari sabtu oleh Presiden, Tan Sri Joseph Kurup.
Menurut Ellron sementara sayap pergerakan pemuda dan wanita akan mengadakan mesyuarat mereka pada hari jumaat.
Kata Ellron, mesyuarat perwakilan adalah saluran rakyat atau ahli-ahli PBRS yang kebanyakannya dari kawasan luar bandar untuk mengemukan pandangan , cadangan serta suara mereka kepada kerajaan.
"Oleh itu setiap perbahasan atau isu yang hendak dibawakan haruslah menjuruskan kepada pembangunan masyarakat, keselamatan negara dan hak -hak rakyat," kata Ellron selepas mempengerusikan mesyuarat terakhir sebelum AGM tersebut.
sementara itu, pergerakan wanita dan pemuda Sook akan mengadakan perlawanan persahabatan badminton dengan rakan-rakan dari N.33 Bingkor dan N.34 Liawan di sini pada jumaat.

Pejabat Daerah Nabawan turun padang

Aloysius dan Vincent memantau jambatan

Nabawan : Masalah perhubungan yang menjadi rungutan di kawasan Mukim Nabawan telah diambil perhatian oleh Pejabat Daerah Nabawan. Baru-baru ini, Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Aloysius Anthony bersama dengan juruteknik daerah telah turun padang dengan memantau masalah jalan raya serta jambatan yang menjadi rungutan penduduk di kawasan tersebut.
Antara yang dipantau beliau ialah jambatan di Kampung Binanun yang menghubungkan dengan kampung-kampung berhampiran seperti Kampung Pohon Batu.
Memandangkan jambatan tersebut merbahaya kepada kenderaan berat, Aloysius dibawa oleh belia di kampung itu menaiki motorsikal agar mendapat gambaran jelas mengenai masalah tersebut. Turut bersama beliau ialah Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent lee.
Selain dari masalah mengenai jalan raya dan jambatan, Pejabat Daerah Nabawan juga turut mengambil peluang memantau kelancaran projek-projek kerajaan di sekitar kawasan tersebut.
Kelihatan Aloysius dan Vincent memantau sebuah jambatan yang memerlukan perhatian segera

Beri peranan kepada PBRS di pantai timur : Kurup

Kurup terima borang keahlian dari Cawangan Hill Top

Tawau : Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup meminta agar ahli-ahli parti itu diberi perhatian serta peranan di kawasan Pantai Timur kerana PBRS juga memainkan peranan penting dalam mengukuhkan perpaduan dan memperkasakan Barisan Nasional (BN).

Kurup berkata, PBRS di kawasan pantai timur , terus kekal setia bersama BN malahan keahlian parti itu juga bertambah. Kurup berkata demikian ketika merasmikan Pejabat Perhubungan Parti PBRS N.60 Sebatik yang diketuai oleh Yunus Sampe disini.

“Dengan peranan, kerjasama serta kesetiaan yang dimainkan oleh PBRS di kawasan ini, maka adalah wajar bagi ahli-ahli parti ini diberi perhatian ,” kata Kurup. Turut hadir Naib Pengerusi Pemuda BN Malaysia , Vincent Lee yang juga Ketua Pemuda PBRS serta timbalannya, Matusin Bowie.

Kata Kurup, PBRS banyak membantu mengukuhkan parti dan BN di kawasan itu, dan memberikan tenaga mereka setiap kali pilihanraya dengan penuh kesetiaan.

“Meskipun ahli-ahli PBRS tidak mempunyai kedudukan di sini tetapi mereka terus setia bersama dengan PBRS dan BN, sebagai pemimpin BN saya sangat menghargai kesetiaan dan ketabahan yang mereka lakukan untuk BN, “ kata Kurup.

Sempena majlis itu juga Kurup menerima borang keahlian sebanyak 56 orang dari Cawangan Jalan Apas N.57 Sri Tanjung dan 62 orang cawangan Hill Top N.60 Sebatik.

Jambatan dan jalan raya akan diperbaiki : Kurup

Kurup mengambil gambar jambatan bekas laluan lori balak di Kg.Binanun
yang digunakan oleh penduduk sebagai jalan perhubungan utama.
Keningau : Ahli Parlimen Pensiangan , Tan Sri Joseph Kurup berkata wakil rakyat kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah wakil rakyat yang sentiasa mendampingi rakyat ,dan sentiasa berusaha untuk memastikan keselesaan rakyat sebagai perkara utama.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, masalah perhubungan di kawasan ulu Mukim Nabawan melibatkan masalah jalan raya dan jambatan telah disiasat oleh pegawainya disusuli oleh lawatan beliau sendiri.

“Jika saya tidak prihatin saya tidak akan datang sendiri untuk melihat keadaan disini dan merasai kesusahan rakyat,” ujar Kurup yang melakukan lawatan ke Kg.Pohon Batu sempena Program Perkhidmatan Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini.

“Saya telah melihatnya sendiri dan keutamaan saya ialah memperbaiki jambatan terlebih dahulu kerana itulah yang paling penting, “ kata Kurup. bagaimanapun kata Kurup, beliau juga telah mengarahkan para pegawainya untuk menyiasat kedudukan jalan bekas jalan kayu balak tersebut.

sempena lawatan beliau ke kawasan Mukim Nabawan itu melalui Jalan Bt.22 , Kurup turut memantau beberapa buah kampung berhampiran dengan diiringi oleh Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Nabawan, Aloysius Anthony serta CDO N.38 Nabawan,Ibrahim Andipoh.

Penduduk di kampung Pohon Batu juga telah berdialog dengan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Kurup telah memberi perhatian kepada hasrat penduduk di kampung itu yang mahu menternak itik, kambing dan kolam ikan.

Thursday, July 8, 2010

Pejabat Parlimen Pensiangan anjur Program Perkhidmatan Pendaftaran Sijil Lahir dan Kad Penggenalan di Mukim Nabawan

Keningau : Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan akan mengadakan Perkhidmatan Pendaftaran Bergerak Sijil Kelahiran dan Kad Pengenalan di Kampung Pohon Batu , Nabawan sabtu ini.

Pegawai Perhubungan Media Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan , Rozie Jumat berkata, sebanyak 69 senarai pemohon telah didaftarkan sempena program tersebut, yang melibatkan permohonan dari perkampungan berdekatan.

Daya usaha mengadakan perkhidmatan seumpama itu adalah bertujuan membantu masyarakat di kawasan pedalaman , dan meringankan beban mereka yang terpaksa berulang alik ke pekan terdekat seperti Keningau.

“Dengan perkhidmatan terus dibawa ke perkampungan adalah lebih memudahkan kepada penduduk kampung yang bermasalah, selain pihak berkenan dapat bersemuka dengan Unit Khas Bergerak dan mengenalpasti masalah yang mereka hadapi,” kata Rozie.

Dalam usaha Pejabat Parlimen Pensiangan dan Ahli Parlimen Pensiangan iaitu, Tan Sri Joseph Kurup, Unit Pemimpin Kemajuan Rakyat N.38 Nabawan serta UPKR N.37 Sook, program seumpama ini diadakan secara berperingkat mengikut mukim. Sehingga kini Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan telah menganjurkan perkhidmatan ini di Kg.Saliliran, Pensiangan, Kg.Dalit, Kg.Mansiat, Kg.Membulu di Daerah Kecil Sook.

“YB Ahli Parlimen Pensiangan mahu rakyat di kawasan ini memiliki dokumen yang lengkap agar mereka rasa selamat tinggal di tempat sendiri selain dapat merebut peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan,” kata Rozie yang juga merupakan EXco Wanita PBRS.

Dalam pada itu sempena program sehari sabtu ini , Pihak Biro Kebajikan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Mercy Malaysia akan mengadakan perkhidmatan pemeriksaan gigi dan mata.


Ibu tunggal terharu dibantu‏

Kahirin menyampaikan bantuan zink PBRS kepada Pn.Rose

Keningau : Puan Rose Fatimah Samudin, 57 di Kg.Penagatan Laut, merasa terharu sehingga menitiskan air mata apabila tidak menyangkakan kedatangan rombongan dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) adalah untuk menghantar bantuan zink dan beruti kepadanya. Ibu tunggal itu bersama dengan 8 anggota keluarganya yang hidup dalam serba kekurangan , melalui satu saat yang sukar apabila atap rumah mereka diterbangkan angin petang rabu.

Wakil dari Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) diketuai Exco Pemuda, Kahirin Bador, Setiausaha Pemuda Bahagian Sook, Ramian Ayub dan Exco Wanita ,Rozie Jumat menghantar bantuan berupa zink dan beruti kepadanya disini tengahari khamis.

Rose berkata, beliau merasa terharu kerana semasa angin kuat yang berlaku pada petang kelmarin (7hb) seseorang yang bernama , Charles Ikang mengambil gambar keadaan rumahnya dalam keadaan hujan. Charles ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) N.37 Sook yang juga Setiausaha EXCO Pemuda PBRS Pusat.

"Dan pada hari ini, bantuan berupa zink dan beruti disampaikan bagi meringankan beban yang dihadapi oleh saya kerana atap zink rumah saya ini diterbangkan angin," kata Rose.

Katanya hidup beliau sememangnya susah kerana suaminya telah lama meninggal dunia, sementara anak-anak beliau masih muda, dan perlu ditanggung.

"Saya berterima kasih kepada PBRS dan Wakil rakyat yang memberikan bantuan ini.Semoga kamu di berkati Tuhan," luah Rose.

Saturday, July 3, 2010

Standard Chartered beri sumbangan kepada mangsa banjir Pensiangan


Kota Kinabalu : Syarikat perbankan Standard Chartered disini turut merasai kesusahan yang menimpa mangsa banjir kilat di Pensiangan baru-baru ini. Selain memberi sumbangan wang bernilai RM10 ribu, kakitangan syarikat itu juga mendermakan pakaian terpakai mereka kepada mangsa-mangsa banjir.

Pengurus Senior, Gloria Kwan dalam satu majlis sederhana di premis syarikat itu berkata, kakitangan di syarikat itu bersimpati dengan nasib yang menimpa masyarakat luar bandar.
Mereka juga mahu melibatkan diri dengan aktiviti kemasyarakatan di kawasan pedalaman dengan menganjurkan program yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat tersebut kelak.
Sumbangan tersebut diterima oleh Ketua Pemuda EXCO PBRS, Vincent Lee yang juga Ketua Pegawai Perhubungan P182 Pensiangan, diserahkan oleh Gloria Kwan.
turut hadir sama Setiausaha Pemuda, Charles Ikang dan Exco wanita, Zainun Khan dan Rozie Jumat.
Vincent mengucapkan rasa terima kasih kepada syarikat tersebut atas keperihatinan mereka bagi pihak Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan dan Ahli Parlimen, Tan Sri Joseph Kurup.