Monday, January 18, 2010

Daftar sebagai pengundi di Sook : Kurup

Kurup dan Ellron bersama penerima bantuan zink di Kg.Delayan Lama, Sook.

Keningau : Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Tan Sri Joseph Kurup meminta penduduk di kawasan Sook yang berasal dari daerah lain ,tetapi telah menetap lama serta memiliki rumah dan tanah di kawasan itu agar mendaftar sebagai pengundi di kawasan itu.
Kurup yang juga merupakan Ahli Parlimen Pensiangan berkata, ramai di kalangan penduduk di daerah kecil itu yang telah tinggal bertahun-tahun di Sook, bahkan sehingga bercucu masih mengundi di kawasan asal mereka.
“ Sudah tentu apabila nama mereka tidak terdapat di dalam daftar undi itulah yang menghalang mereka mendapat kemudahan yang diberikan oleh kerajaan seperti tangki , bila itu berlaku pertelagahan berlaku di kalangan mereka ,” ujar Kurup ketika di majlis pemimpin bersama rakyat sempena penyerahan 50 buah tangki di Kg.Lintuhun disini.
Kata Kurup, beliau sebagai wakil rakyat di kawasan itu mahu rakyat mendapat kemudahan yang diberikan kerajaan , namun katanya hanya penduduk yang mengundi di kawasan itu diberikan keutamaan dalam pengagihan bantuan projek kecil seperti zink, tangki dan sebagainya.
“ Oleh itu saya meminta kepada penduduk di kawasan Sook yang masih mengundi di kawasan asal mereka agar menukar pusat undi mereka di kawasan ini.
Generasi peneroka tanah di daerah kecil Sook berasal dari Ranau, Tambunan, Tuaran ,Tamparuli yang boleh dikenali dengan nama-nama kampong yang dibawa bersama dengan pembukaan tanah ketika mereka berhijrah. Antaranya Kg.Kionsom, Kg Kiulu dan Kg.Lintuhun Baru. Kebanyakan mereka memiliki tanah di daerah ini.
“Jika kamu suka dengan kampong disini, kenapa tidak mendaftar sebagai pengundi disini, sama-sama kita majukan kampong kita dan beri sokongan kepada kerajaan,” kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Turut hadir , Wakil Rakyat Sook , Datuk Ellron Angin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar.
Sementara itu Kurup di majlis yang sama di Kg.Delayan Lama sempena penyerahan bantuan zink kepada 45 keluarga, beliau mengingatkan rakyat agar membangunkan tanah mereka.
Di majlis itu Kurup memberitahu rakyat bahawa kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada penyelesaian masalah rakyat seperti masalah tanah di kawasan itu. Dimana siasatan mengenai tanah di kawasan itu telah hampir diselesaikan dengan dipengerusikan oleh Datuk Ellron Angin.

No comments: