Wednesday, January 27, 2010

Warga tua Pensiangan kini mulai terima Bantuan Orang Tua (BOT)

Bersyukur dapat BOT ....Ampungit

Dapat bantuan RM300 sebulan dan diberi rumah PPRT ...Kalasang


" Terima kasih kepada usaha YB Tan Sri Joseph Kurup, kerana akhirnya warga tua
di Pagalungan nikmati bantuan kerajaan " ...Talimoh


Oleh Rozie Jumat

Nabawan : Warga emas berusia 6o tahun ke atas di kawasan terpencil pedalaman khususnya di kawasan Pensiangan kini mulai menikmati bantuan kewangan kebajikan setiap bulan. Bantuan itu adalah hasil usaha turun padang yang tidak mengenal erti cabaran dari kakitangan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Daerah dan Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan melaliu Ops Klien Projek Cari.
Talimoh Anduyung, 61 dari Kampung Tinanduk, Daerah Kecil Pagalungan berkata, beliau menerima RM300 sebulan dari kerajaan dan wang tersebut meringangkan keperluan hidup sehariannya.
“ Saya sangat gembira kerana kita tidak pernah ada seperti ini sebelum ini. Saya berterima kasih kepada kerajaan atas usaha mereka turun padang sehinggalah saya berjaya mendaftarkan diri, dan layak menerima bantuan ini,” kata Talimoh, yang menaiki bot dari kampungnya ke Pekan Pagalungan untuk mendaftar dalam Ops Klien Projek Cari yang dikendalikan bersama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan tahun lepas.
Katanya, selama ini penduduk di kawasan luar Bandar dan jauh kerana masalah pengangkutan tidak pernah menikmati bantuan seumpama itu.
Oleh itu kata Talimoh, orang-orang muda di pedalaman haruslah memberi sokongan dan kerjasama kepada kerajaan kerana orang tua mereka diberi bantuan.
Bagi Kalasang Antitip, 65 tahun dari Kampung Sasandukon , seorang yang cacat penglihatan, berkata, beliau tidak dapat menahan airmatanya kerana selain mendapat bantuan orang tua setiap bulan, beliau juga telah diberikan rumah melalui Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
“Meskipun saya tidak melihat rumah yang dibina kerajaan untuk saya tapi saya dapat merasakan keselesaannya,”. Kalasang berkata , kalau bukan kerana usaha kerajaan yang bersungguh-sungguh sehingga sangup mengadaikan nyawa untuk ke kawasan itu, golongan tua sepertinya tidak akan menikmati bantuan itu.
“Bantuan ini amat penting bagi saya kerana inilah yang menampung kehidupan saya yang tidak mampu melakukan kerja berat lagi,” kata Kalasang.
Seorang lagi penerima bantuan kerajaan ialah Ampungit ,64, dari Kg.Sasandukan berkata, dulu kehidupannya sangat susah kerana tidak ada sumber pendapatan. Namun hasil keprihatinan kerajaan dengan membinanya rumah PPRT dan bantuan kewangan kebajikan orang tua, beliau kini mampu menyara hidupnya.
“Bantuan ini sangat penting bagi orang tua yang miskin seperti saya, setelah sekian lama kita merdeka kini barulah kita menikmati bersama hasil kekayaan Negara kita,” kata Ampungit. Namun katanya masih ramai lagi orang tua di sekitar daerah Kecil Pagalungan yang belum menerima bantuan kebajikan.
Daerah Kecil Pagalungan terdiri dari Mukim Pagalungan dan Mukim Pensiangan. Dimana kampung atau kedudukan rumah-rumah panjang di kawasan ini berjauhan antara satu dengan lain, dengan bot adalah merupakan pengangkutan utama selain berjalan kaki untuk tiba di kawasan sasaran.
Projek Ops Klien Projek Cari yang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Daerah Nabawan dan Pejabat Perhubungan Parlimen telah turun padang di kawasan strategik untuk tujuan tersebut.

No comments: