Wednesday, January 20, 2010

Projek Agropolitan Sumatalun bakal dilaksana

lawatan tapak oleh pelaksana projek agropolitan di Sumatalun

Nabawan : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melaksanakan Projek Agropolitan di Sungai Sumatalun, dalam Daerah Kecil Pagalungan seluas 6000 ekar. Timbalan Setiausaha Tetap, Abdul Razak Datuk Haji Walli berkata demikian ketika melakukan lawatan tapak serta taklimat untuk projek tersebut disini baru-baru ini. Agensi-agensi berkaitan turut menyertai lawatan tapak itu.
Projek itu akan memberi manfaat kepada lebih kurang 600 penduduk yang dikategorikan miskin tegar dari daerah kecil itu. KPLB juga akan membangunkan tanah –tanah di kawasan Sungai Sumatalun dengan penanaman getah dan kelapa sawit. Projek agropolitan di Kuala Sumatalun itu memberi peluang kepada perubahan hidup penduduk yang dikategorikan sebagai rakyat miskin tegar.
Sementara itu , Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan bagi Mukim Pengalungan dan Pensiangan, Simpil Andingos yang mewakili Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup menyambut baik usaha kerajaan untuk membantu rakyat keuar dari kemiskinan dengan pelaksanaan projek agropolitan itu.
“ Sebagai penduduk di kawasan ini , kami sangat gembira dengan berita baik ini , kerana inilah peluang bagi masyarakat kami untuk mengubah kehidupan dari kemiskinan tegar,” kata Simpil yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Simpil berkata KPLB juga memberi keutamaan kepada penduduk Kg.Sosondukon, Kg.Sibuah , Kg.Saliku dan Kg .Kuala Sumatalun. Bagaimanapun katanya, selebihnya akan diambil dari sekitar Daerah Kecil Pagalungan.
“ Tanah di Sungai Sumatalun itu ditawarkan oleh penduduk kampong untuk tujuan pembangunan projek agropolitan ketika Ahli Parlimen Pensiangan menjawat Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dan sememangnya rancangan ini terus diteruskan demi mengubah hidup rakyat,” ujar Simpil.
Dalam menerima khabar yang baik kata Simpil, projek agropolitan itu harus dipercepatkan sesuai dengan konsep pentadbiran 1Malaysia Perdana Menteri. Turut bersama dalam lawatan ke tapak itu ialah Alexander Yong, Penolong Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur ; Bubudan Majalu, Pegawai Daerah Nabawan ; Sukiang Ensing , Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan ; serta Pegawai Wilayah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS).

No comments: