Monday, January 11, 2010

PBRS ucap terima kasih NGO Islam Pantau Gereja

Keningau : Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan rasa terima kasih diatas keprihatinan dan usaha murni pihak NGO Islam yang memantau dan mengawasi gereja di sekitar Lembah Kelang, Kuala Lumpur.
Ketua Pemudanya, Vincent Lee berkata, usaha murni beberapa NGO Islam untuk memantau dan mengawasi rumah ibadat itu amatlah dihargai.
“ PBRS sangat terharu serta merasa tersentuh dengan sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh saudara Islam di semenanjung, kerana kami di sini menerima banyak aduan tentang kebimbangan keselamatan anak-anak Sabah di semenanjung,” kata Vincent.
Apa yang mereka (Badan NGO Islam) lakukan itu cukup mengharukan dan membuktikan keprihatinan mereka terhadap saudara yang bukan seagama.
Sehubungan dengan itu kata Vincent , parti itu juga akan memberi penjelasan kepada rakyat di negeri ini berkenan dengan isu tersebut.
Sementara itu Ketua Penerangan EXCO Wanita PBRS, Rozie Jumat berkata , komitmen yang dilakukan oleh pihak NGO Islam di semenanjung membantu memantau dan mengawasi gereja amatlah dihargai.
“Pada ketika kita tersepit dengan isu ini, kita amat terharu dengan sikap telus dan persaudaraan yang dilakukan oleh saudara Islam yang menjaga kita, PBRS yakin masalah ini akan dapat ditangani dengan segera,” kata Rozie.
Menurut Rozie , kebanyakan penganut Katolik di Kuala Lumpur adalah dari Sabah dan Sarawak.

No comments: