Thursday, July 1, 2010

Kemudahan empangan cabaran baru kepada petani : Kurup

Kurup melancarkan majlis perasmian Pesta Kaamatan Kg.Kepayan Baru, Keningau


Keningau : Petani di pedalaman dijangka akan memberi hasil yang lebih baik setiap kali musim menuai kerana kemudahan untuk mereka semakin baik dan kerajaan sentiasa berusaha menaiktaraf demi meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, petani di kawasan pedalaman yang menerima kemudahan empangan untuk mengairi persawahan mereka sudah pasti mendapat hasil yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kemudahan ini juga sebenarnya adalah satu cabaran baru kepada petani untuk melipatgandakan usaha mereka , dan semoga hasil padi mereka juga bertambah,” kata Kurup ketika merasmikan Empangan Tali Air Kg.Kepayan Baru, Mukim Sebrang sempena Perayaan Pesta Kaamatan disini. Turut hadir Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga merangkap Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dan Naib Presiden KDCA, Rayner F.Udong.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, empangan yang mengairi kawasan persawahan petani di kawasan itu haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Dalam pada itu Kurup juga menekankan bahawa ibubapa adalah komponen paling penting dalam membentuk generasi muda yang bersikap mulia.
"Jangan lupa terapkan nilai budaya kita yang sangat baik seperti berbudi bahasa dan menghormati kepada anak-anak kita, kerana bangsa kita dikenali dengan sikap sedemikian," kata Kurup yang turut diraikan sempena Hari Bapa disini.

No comments: