Thursday, July 1, 2010

Kurup hadiri majlis apasawang











Nabawan : Masyarakat Murut Tagol di Daerah Kecil Pagalungan khususnya mempunyai upacara unik dalam meraikan ulangtahun kanak-kanak. Apasawang , seperti juga upacara meraikan perkahwinan, turut memainkan peranan penting dalam masyarakat Murut dan diraikan secara besar-besaran.
Sanak saudara dari sebelah ibu dan bapa turut di undang untuk bersama-sama meraikan hari ulangtahun. Saudara mara ini tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya mereka membawa bersama barangan makanan yang digunakan semasa majlis tersebut berupa tapai, jeruk ikan , beras, sagu, rokok, ayam dan sebagainya. Barangan ini kemudiannya akan dijual kepada tetamu. Bagaimanapun tidaklah semahal barangan semasa majlis perkahwinan seperti tinauh.
Apasawang sangat menarik kerana ianya diraikan khusus untuk kanak-kanak dalam sesebuah keluarga. Dan baru-baru ini Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.38 Nabawan, Busiau Ampirak menganjurkan apasawang untuk enam orang anaknya di Kg.Sinikaulan.
Menurut Busiau, penganjuran apasawang itu antara lainnya untuk memberi galakan dan penghormatan kepada anak-anaknya, selain bertujuan untuk berkumpul bersama sanak saudara.
Sementara itu tetamu kehormat, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup mahu kaum Bumiputera harus sentiasa berbangga dengan keturunan mereka dengan memelihara apa yang mereka miliki seperti budaya dan warisan. Sementara wakil rakyat sentiasa menyokong usaha mereka untuk menjaga dan mengekalkan budaya tersebut.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata , kaum Bumiputera khususnya suku kaum Murut di pedalaman mempunyai warisan budaya yang masih tulin yang harus dijaga dan dikekalkan turun temurun.
Kata Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, majlis seperti apasawang, juga sangat penting sebagaimana majlis keraian suku kaum Murut seperti ansakoi,tinauh atau ilauh yang bertujuan mengumpulkan saudara mara.
“Apasawang adalah salah satu adat istiadat suku kaum Murut yang sangat penting, dan saya sendiri menyokong majlis seumpama ini untuk terus diraikan dan berterusan”, kata Kurup.
Tambahnya, apasawang mengukuhkan persaudaraan dan mengeratkan silaturahim,juga mengekalkan identiti bangsa Murut.
“Pelihara apa yang kita miliki, apasawang adalah salah satu cara memelihara budaya,” kata Kurup.
Dalam pada itu Kurup juga berasa terharu dan sangat berbesar hati kerana dianggap sebagai saudara oleh masyarakat di kampung itu yang menjemputnya ke majlis apasawang , serta melibatkan diri dengan pembelian barangan hantaran yang dibawa oleh saudara mara penganjur apasawang.
sementara itu, wakil keluarga, Sakampung Dawalis berkata, mereka sangat terharu kerana seorang wakil rakyat sentiasa mendampingi rakyat meskipun majlis seumpama itu bukanlah majlis yang melibatkan perasmian atau majlis pemimpin bersama rakyat.
“Pemimpin tidak seharusnya berjumpa dengan rakyat semasa majlis pemimpin bersama rakyat semata-mata tetapi kehadiran mereka di majlis seumpama ini merapatkan sesama kita,”kata Dawalis.
Majlis apasawang adalah satu majlis keraiaan yang dianjur untuk mengingati hari ulangtahun anak-anak dalam sesebuah keluarga. Dan ianya diraikan secara besar-besaran mengikut adat suku kaum itu.

No comments: