Thursday, July 1, 2010

4 buah kampung sepakat bangunkan tanah


Keningau: Empat buah kampung di Mukim Lanas dalam Daerah Kecil Sook disini sepakat membangunkan tanah seluas 10 ribu ekar dengan penanamanan kelapa sawit. Persepakatan itu dicapai disini dalam satu mesyuarat bersama Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi-Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Setiausaha Badan JKKK dari 4 buah kampung yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup.

Wakil Ketua Anak Negeri selaku jurucakap, Jining Lakang berkata, empat buah kampung itu ialah Kampung Sinua, Kampung Tuawon, Kampung Sanaron Tengah dan Kampung Sanaron, mengalu-alukan pembangunan tanah melalui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) di kawasan itu.

" Pemimpin - pemimpin masyarakat masing-masing mengalu-alukan pembangunan tanah ini, dan kami yakin sebarang masalah yang dihadapi kepentingan kami sebagai penduduk kampung akan dijaga oleh pemimpin atasan ," kata Jining.

Katanya , tiada lain yang kami fikirkan cuma mahu masa depan yang lebih baik untuk masyarakat disini, dan sudah tentunya dengan adanya pembangunan tanah seumpama ini, maka kawasan kami tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ujar Jining.

Pengerusi JKKK Kg.Sinua, Robert James berkata, usaha pembangunan itu mereka amat alu-alukan dan mahu penduduk di kawasan itu diutamakan sebagai peserta.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, persepakatan antara ke empat buah kampung itu adalah satu permulaan yang sangat baik untuk penduduk di kawasan itu.

"Saya akan memastikan kepentingan mereka terjaga dan dilindungi, selain beberapa syarat yang dikemukakan kepada SLDB kita akan bawa itu kepada mereka (SLDB)," kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

No comments: