Wednesday, January 13, 2010

Bantu Pelajar tercicir : Ellron

YB Datuk Ellron membantu adik Suzana memilih saiz kasutnya.
Turut kelihatan Garius (kiri) PJKKK Kg.Ambual.
Wanita PBRS Liawan selaku 'ibu' kepada adik Suzana dalam membeli barangan
keperluan hariannya yang bakal bergelar pelajar sekolah menengah.

Wakil Rakyat mahu adik Suzana (kanan) diberi peluang untuk menyambung
persekolahannya selepas tercicir dari senarai ke sekolah menengah.
Terima kasih YB Datuk kerana membantu meringankan bebanan keluarga ini.


Rozie Jumat

Keningau : Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Datuk Ellron Angin mahu semua pihak bersatu dan saling bekerjasama memerangi masalah keciciran pelajar kerana ia menghalang masa depan generasi akan datang.
Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, meskipun masalah tersebut masalah terpencil , namun hakikatnya jika perkara itu tidak diatasi sudah tentu memberi impak di masa akan datang.
Beliau yang juga Wakil Rakyat Sook berkata demikian ketika membeli barangan keperluan sekolah seorang pelajar yang tercicir dari memasuki sekolah menengah disini. Dimana usaha wakil rakyat itu juga adalah bertujuan untuk membantu pelajar, Suzana Rabun , 13 dari Kg.Ambual untuk meneruskan persekolahannya.
Dalam pada itu Ellron juga meminta agar pihak Jabatan Pendidikan memberi bantuan yang selayaknya untuk pelajar miskin yang tercicir ,diberi keutamaan untuk memasuki asrama agar mereka tidak tersisih dan ketinggalan dalam pembelajaran.

Beliau juga berterima kasih diatas keprihatinan Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung, Kg.Ambual, Garius Paukin yang membawa masalah (pelajar tercicir) itu kepadanya dan seterusnya mencari penyelesaian agar pelajar tersebut dapat menyambung persekolahan menengah .

“ Masalah pelajar tercicir dari persekolahan disebabkan oleh faktor kemiskinan. Kerajaan sentiasa berusaha membantu rakyat untuk mengatasi masalah kemiskinan. Pendidikan adalah elemen terpenting mengatasi masalah kemiskinan ,” kata Ellron. Turut menyertai beliau ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang dan turut dibantu oleh Pergerakan Wanita PBRS N.34 Liawan yang diketuai oleh Carol Udang.

Sementara itu , Rabun Ghani, 47 , bapa tunggal kepada 8 orang anak mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan wakil rakyat itu membeli keperluan persekolahan anaknya.

“ Anak saya (Suzana) rajin ke sekolah (rendah) dan cemerlang serta aktif terutamanya dalam lapangan kesukanan. Saya memang rasa hiba apabila mendapati namanya tidak tersenarai untuk memasuki persekolahan menengah, namun pada hari ini saya melihat masa depan anak saya cerah kerana adanya campurtangan wakil rakyat yang memberi jaminan anak saya akan bersekolah,” kata Rabun.

PJKKK Kg Ambual, yang juga seorang aktivis sosial, Garius Paukin meminta agar masalah keciciran seumpama itu dapat ditangani dengan bijak oleh pihak yang berkenan di masa yang akan datang.

Monday, January 11, 2010

PBRS ucap terima kasih NGO Islam Pantau Gereja

Keningau : Pergerakan Pemuda dan Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan rasa terima kasih diatas keprihatinan dan usaha murni pihak NGO Islam yang memantau dan mengawasi gereja di sekitar Lembah Kelang, Kuala Lumpur.
Ketua Pemudanya, Vincent Lee berkata, usaha murni beberapa NGO Islam untuk memantau dan mengawasi rumah ibadat itu amatlah dihargai.
“ PBRS sangat terharu serta merasa tersentuh dengan sikap keprihatinan yang ditunjukkan oleh saudara Islam di semenanjung, kerana kami di sini menerima banyak aduan tentang kebimbangan keselamatan anak-anak Sabah di semenanjung,” kata Vincent.
Apa yang mereka (Badan NGO Islam) lakukan itu cukup mengharukan dan membuktikan keprihatinan mereka terhadap saudara yang bukan seagama.
Sehubungan dengan itu kata Vincent , parti itu juga akan memberi penjelasan kepada rakyat di negeri ini berkenan dengan isu tersebut.
Sementara itu Ketua Penerangan EXCO Wanita PBRS, Rozie Jumat berkata , komitmen yang dilakukan oleh pihak NGO Islam di semenanjung membantu memantau dan mengawasi gereja amatlah dihargai.
“Pada ketika kita tersepit dengan isu ini, kita amat terharu dengan sikap telus dan persaudaraan yang dilakukan oleh saudara Islam yang menjaga kita, PBRS yakin masalah ini akan dapat ditangani dengan segera,” kata Rozie.
Menurut Rozie , kebanyakan penganut Katolik di Kuala Lumpur adalah dari Sabah dan Sarawak.

Tuesday, January 5, 2010

Graduan Sokong BN melalui PBRS

Sebahagian graduan yang menyokong PBRS di pedalaman
bersama Presiden, Tan Sri Joseph Kurup.
Sokongan para graduan memberi kekuatan tambahan kepada PBRS.

Keningau : Golongan berpendidikan tinggi dari kalangan graduan muda di pedalaman memilih serta memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) sebagai landasan dan wadah dalam perjuangan mereka membina bangsa dan Negara.

Sokongan itu diluahkan oleh seramai 28 graduan sempena Hari Keluarga Sopiginawo Payat Matigal Undihis (SPMU) di Kg.Kepayan Baru baru-baru ini.

Jurucakap dari Keluarga SPMU, Rayner F.Udong berkata seramai 28 ahli keluarga SPMU yang berkelayakan Lulusan Universiti Tempatan dan luar Negara dalam berbagai jurusan telah membuat ketetapan untuk menyokong Kerajaan Barisan Nasional.

“ Bagi mereka yang tinggal di kawasan Keningau, mereka telah berikrar untuk menyokong Barisan Nasional melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Mereka menerima baik kepimpinan Y.B. Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup,” kata Rayner yang merupakan Ketua Penerangan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Majlis itu turut dihadiri oleh Tan Sri Joseph Kurup, Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan isteri.

Monday, January 4, 2010

PBRS TERUS GAH DI PERSADA POLITIK NEGARA

Perisai 1Malaysia dari PBRS untuk YAB Perdana Menteri
Zainon Khan , Pengerusi Penganjur Persidangan Wanita sampaikan cenderakenangan
kepada Cyrill Yansalang, Pengerusi Tetap.


Barisan Exco Wanita PBRS

Perwakilan dari Lahad Datu



Presiden ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Perwakilan Pergerakan Wanita dan Pemuda




Antara hadirin di majlis perasmian penutupan mesyuarat perwakilan PBRS kali ke - 14 disempurnakan oleh YAB Datuk Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia


oleh Rozie Jumat

Kota Kinabalu : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) terus gah meniti zaman dan meneruskan perjuangannya. Dengan usianya yang telah menginjak 15 tahun , PBRS salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) di Sabah telah memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan politik Sabah sejak tahun 1994. Ini berikutan kejatuhan kerajaan yang diterajui oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu masih pembangkang dan hubungan tegang Sabah-Persekutuan.


PBRS telah ditubuhkan oleh sekumpulan pemimpin PBS yang tidak berpuas hati dengan tindakan parti (PBS) itu meninggalkan BN. PBRS telah memainkan peranan pentingnya dalam menyatu padukan masyarakat Bumiputera khususnya Kadazan Dusun dan Murut di negeri ini. Walaupun diberi peluang untuk bertanding atas tiket BN dalam pilihanraya , PBRS kalah kepada pembangkang kerana isu-isu bersifat tempatan dan perasaan benci yang menebal terhadap kerajaan Persekutuan. Bagaimanapun Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup telah berjaya mengurangkan sokongan terhadap calon PBS, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dalam satu pilihanraya parlimen di Keningau.

Dalam usia 15 tahun ini PBRS telah meniti pelbagai liku-liku yang penuh dengan cabaran dalam perjuangannya. Pemimpin datang dan pergi begitulah yang berlaku kepada PBRS. Dugaan juga tidak lari dari PBRS dimana berlakunya perebutan kuasa yang menyebabkan parti ini terbahagi kepada dua kumpulan , dan kemudiannya membawa haluan masing-masing.


Namun pada hari ini , PBRS adalah sebuah parti yang matang dalam perjuangannya. Jumlah ahlinya semakin bertambah kerana keyakinan rakyat terhadap PBRS yang setia, tabah dan ikhlas dalam perjuangannya meskipun dianggap sebagai sebuah parti kecil.

Timbalan Presiden PBRS , Datuk Ellron Angin berkata, dari pandangan orang mungkin PBRS kecil tetapi jika parti itu diberikan peluang untuk bertanding atau ditambah kerusi , parti itu tetap akan menang dan mampu memberikan perkhidmatan yang sama rata kepada rakyat.


Sempena Mesyuarat Perwakilan Tahunan PBRS kali Ke-14 yang menutup tirai pada tahun 2009, hampir ke semua perwakilan mahu PBRS diberikan penambahan kerusi dalam cadangan persempadanan baru itu. PBRS mempunyai 23 bahagian di seluruh negeri, dan diberi kuota di DUN N.37 Sook dan P.182 Pensiangan. Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita turut menyuarakan agar pucuk pimpinan parti mengemukakan permintaan penambahan kerusi bagi PBRS.

Dalam ucapan perasmian sempena mengalu-alukan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional Malaysia, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, "PBRS sentiasa bersatupadu , sentiasa kukuh , sama ada dalam susah atau senang, Kami bukanlah kawan yang bermusim, kami telah terji dan terbukti berulang kali," ujar Kurup.

Menurut Kurup, PBRS juga mengambil langkah-langkah untuk memperkasakan parti supaya dapat memberi kekuatan tambahan kepada YAB Perdana Menteri.

Sempena mesyuarat perwakilan itu , PBRS mahu kerajaan BN mengambil serius untuk menaiktaraf hidup penduduk luar Bandar, pembinaan jalanraya, kemudahan klinik dan pemberian biasiswa terhadap pelajar BUmiputera KDM.

PBRS juga menyuarakan agar setiap projek yang dijanjikan BN wajib ditunai kerana ia memberi impak kepada wakil rakyat di sesuatu kawasan. Kerajaan juga diminta untuk mengenalpasti projek-projek yang dijanji dan harus dilaksana.

Dalam pada itu PBRS juga mencadangkan kerajaan agar satu peruntukan khas diperuntukkan dalam RMKKe-10 dan satu pasukan khas dibentuk untuk memfokus khas dan mengambil tindakan konkrit yang lebih menyeluruh untuk mengurang kemiskinan tegar di Sabah.

Mesyuarat perwakilan tahunan ke-14 ini menjadi cabaran kepada ahli-ahli PBRS dalam pendakian mereka ke puncak. Namun ahli-ahli PBRS yang setia, ikhlas dan tabah akan terus memberikan sokongan padu kepada BN Sabah dan Perdana Menteri khasnya.


Monday, December 7, 2009

Tiada Pengenalan Diri adalah ' musuh masa depan rakyat'

Rombongan dihantar menggunakan helikopter yang mengambil 45 minit satu perjalanan
Suasana program pendaftaran kad pengenalan dan surat beranak

Kurup memantau program pendaftaran dijalankan di SK.Saliliran, Pensiangan


Nabawan ( Daerah Kecil Pagalungan) : Ketiadaan dokumen pengenalan diri merupakan musuh besar kepada masa depan rakyat. Oleh itu rakyat negara ini harus sedar akan hakikat betapa pentingnya memiliki dokumen pengenalan diri seperti kad pengenalan dan surat beranak.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, kerajaan Persekutuan juga sangat serius dengan masalah tersebut, dan telah pun turun padang untuk membantu rakyat khususnya di kawasan Pensiangan yang diwakilinya.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata demikian kepada media selepas mengetuai rombongan Pendaftaran Surat Beranak dan Kad Pengenalan di Kg.Saliliran, dalam Mukim Pensiangan disini. Pendaftaran selama 2 hari itu dijalankan secara bersepadu oleh Unit Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan. Turut sama dalam program itu ialah Imigresen , pasukan keselamatan , Jabatan Kebajikan dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).
Sehubungan dengan itu kata Kurup, pihak beliau akan terus berusaha memastikan rakyat tulen di kawasan itu mendapat dokumen pengenalan diri kerana ketiadaan dokumen penting itu menghalang mereka menikmati peluang-peluang yang diberikan oleh kerajaan, dan juga menjadi punca rakyat seperti pelarian di negeri sendiri.
" Gerakan pendaftaran dokumen ini akan diadakan dari masa ke semasa di kawasan Pensiangan, sebagai ahli Parlimen di kawasan ini saya mahu menyelesaikan masalah ini demi melihat kesejahteraan rakyat di kawasan ini yang dilabel sebagai kawasan termiskin di Sabah," ujar Kurup yang juga merupakan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Kata Kurup dengan adanya kad pengenalan , rakyat boleh memohon pelbagai peluang yang diberikan oleh kerajaan seperti bantuan kebajikan, subsidi sebagaimana yang dinikmati pleh rakyat di negara ini.
Katanya, kekangan ketiadaan dokumen diri itu telah menjadi penghalang kepada rakyat di kawasan itu dari mendapat peluang yang disediakan oleh kerajaan. Menurutnya, beliau diberitahu bahawa terdapat kanak-kanak yang tidak memiliki surat beranak seterusnya menjadi punca kepada kegagalan untuk memasuki alam persekolahan.
Bahkan kata Kurup yang berada di Kampung Saliliran selama dua malam, berkata terdapat orang tua berusia 60 tahun ke atas tidak layak mendaftar untuk Bantuan Orang Tua (BOT) kerana masalah pengenalan diri , biarpun pada hakikatnya mereka adalah penduduk asli negara ini.
"Saya diberitahu , terdapat belia dari pedalaman yang tidak dapat diterima untuk bekerja kerana tidak memiliki kad pengenalan, lebih teruk lagi ada rakyat yang takut untuk keluar ke pekan kerana bimbang di tangkap oleh pihak berkuasa , " ujar Kurup.
" pelbagai kesengsaraan rakyat berpunca dari ketiadaan pengenalan diri , termasuklah hak untuk mendapat rawatan di hospital , oleh itu program seumpama ini akan diteruskan di kawasan-kawasan terpencil di Pensiangan," tambah Kurup.
Sempena program itu , JPN telah berjaya menyelesaikan 15 permohonan kad pengenalan dan 18 permohonan surat beranak. Manakala Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mendaftarkan sebanyak 47 pendaftar baru dengan pemohon paling tua berusia 67 tahun.
Bagaimanapun bagi sijil cabutan lewat lahir tidak dapat diproses kerana ketiadaan kehadiran majistret disebabkan oleh cuaca buruk. Kg Saliliran mengambil masa dua hari dengan menaiki bot sebelum berjalan kaki selama 5 jam dari Kg.Kuala Sinapar, Pensiangan, atau melalui helikopter selama 45 minit.

25 tahun baru dapat Surat beranak


Nabawan : " Hari ini saya merasa amat gembira sekali kerana akhirnya saya mendapat surat lahir yang membolehkan saya memohon kad pengenalan," kata Robert Suun, 26 tahun. Beliau adalah diantara 28 pemohon surat beranak sempena program pendaftaran bergerak kad pengenalan dan surat beranak anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (Unit Bergerak) dengan kerjasama Pejabat Perhubungan Parlimen 182 Pensiangan di Kg.Saliliran, Mukim Pensiangan, Daerah Kecil Pagalungan.


Dengan ditemani ibubapa serta adik beradik lain, Robert mengambil masa selama dua hari untuk ke Kg.Saliliran dengan menaiki bot kemudiannya berjalan kaki sejauh 10kilometer ( 6 batu) selama 5 jam. Mereka juga menempah bot dengan kos pengangkutan hampir RM1000 bagi dua perjalanan dari Pengkalan Kg Salong ke Pekan Pensiangan dan Ke Kg.Sinapar.


Robert yang dilahirkan di Kampung Kabu, Pensiangan meninggalkan perkampungan itu kerana mahu mencari kehidupan yang lebih baik. Bersekolah setakat di darjah 1 di SK Saliliran kerana tidak memiliki surat beranak untuk membolehkannya untuk meneruskan persekolahan.


"Saya telah berurusan sebanyak 4 kali untuk mendapatkan surat beranak tetapi tidak pernah selesai, sehinggalah hari ini saya berjaya mengurusnya dengan baik kerana adanya kehadiran ketua kampung dan kehadiran keluarga , kata Robert, yang menanam azam untuk mencari pekerjaan bagi menggantikan kos perjalanan yang ditanggung oleh keluarganya dalam membuat pengurusan tersebut.


Katanya, beliau merasa amat kecewa kerana sukar mendapat pekerjaan akibat tidak ada dokumen pengenalan diri. " Hendak keluar berjalan di pekan pun was was kerana bimbang di tangkap pihak berkuasa kerana tidak miliki dokumen diri, saya merasa sangat gembira hari ini," kata Robert.


Beliau juga tidak mahu menyalahkan bapanya kerana masalah dokumen pengenalan dirinya itu memandangkan ayahnya seorang buta huruf.

Wanita PBRS ucap thaniah penganjuran Seminar Wanita Berwibawa


Kota Kinabalu : Pergerakan EXCO Wanita Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengucapkan thaniah dan syabas diatas penganjuran Persidangan Wanita Berwibawa yang diadakan disini Isnin. Dimana program itu melibatkan penyertaan wakil-wakil wanita dari pelbagai pertubuhan di negeri ini, dengan menampilkan penceramah dari kalangan wanita yang berjaya dalam bidang masing-masing.


Ketua Penerangan Wanita Exco PBRS, Rozie Jumat berkata, persidangan tersebut yang merupakan cetusan idea Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, telah menjadi inspirasi kepada golongan wanita terutamanya yang kurang berkeyakinan dan mempelajari pengalaman wanita Sabah baik dari sektor korporat, sektor awam dan politik.


"Saya sendiri berpeluang mempelajari pengalaman dan kisah wanita-wanita ikon yang rendah hatinya, tidak lokek berkongsi kisah mereka meskipun mereka telah berjaya dalam bidang masing-masing seperti Datuk Maznah Abdul Ghani, Datuk Christine Vanhoutten dan Rosmawati Hj.Lasuki. Mereka sebenarnya adalah ikon wanita Sabah ," kata Rozie.


Katanya, dalam kisah ikon politik wanita Sabah, Datuk Christine telah menceritakan kisah jatuh bangun beliau sebagai ahli politik, sehinggalah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara, dan tentang salah seorang pengarah syarikat kumpulan Yayasan Sabah, Rosmawati Hj.Lasuki yang sentiasa memperbaiki dirinya sehinggalah beliau belajar semula , dan kini adalah antara orang yang penting dalam kumpulan Yayasan Sabah.


"Seminar ini memberi keyakinan kepada golongan wanita yang biasanya mempunyai kebolehan dan keupayaan tetapi tidak menyerlah. Seminar ini mampu memberi motivasi kepada wanita yang kurang berkeyakinan berhadapan dengan cabaran terutamanya bersaing dengan golongan lelaki , juga memberi kekuatan atau menambah sinergi kepada wanita-wanita yang sememangnya mempunyai kebolehan memimpin," kata Rozie.


Selain dari itu Rozie berkata, persidangan seumpama itu mampu menjadi saluran bagi golongan wanita dalam menyuarakan pendapat serta pandangan, serta menjadikan persidangan itu sebagai suara akar umbi di masa akan datang, kerana peserta adalah terdiri dari pelbagai persatuan yang mewakili wanita.


Seramai lima orang wakil wanita PBRS mengambil bahagian di dalam Persidangan itu iaitu Flora Joseph (Naib Ketua Wanita), Rozie Jumat (Ketua Penerangan), Nemey Jonas ( Ahli Exco), Zainun Khan (Ahli Exco) dan Caroline Udang @ Norfadilah Abdullah (Ketua Wanita PBRS Liawan).


"Wanita PBRS akan menyampaikan maklumat yang kami perolehi dari persidangan ini kepada ahli-ahlinya," kata Rozie.