Thursday, July 1, 2010

PBRS Bela Iban, PBRS terus terima ahli baru

Kurup serahkan sumbangan kepada Kg.Limbawan berupa PA system, dan jersi yang diterima oleh PJKKKnya, Rosdi Jonatan.
PBRS terus terima keahlian baru, turut kelihatan Ellron dan Cornelius.

Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) mengambil serius akan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Iban di pedalaman dan tindakan serta kajian yang mendalam akan dibuat bagi memastikan kaum minoriti itu terjaga sebagai rakyat negara ini.
Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup berkata, beliau dimaklumkan oleh Ketua Penerangan Bahagian PBRS N.34 Liawan,Jani Badak bahawa terdapat suku kaum itu yang dinafikan untuk mendapat mykad terutamanya dikalangan generasi mereka. Masalah tersebut dikemukakan semasa mesyuarat bersama AJK Bahagian, Pemuda dan Wanita N.34 Liawan disini baru-baru ini.
Menurut Jani, adalah tidak wajar suku kaum Iban yang membentuk komuniti mereka terutamanya di Kg.Keningau , yang juga mengundi pada pilihan-pilihan raya , anak-anak mereka sukar untuk mendapat kad pengenalan (mykad).
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, tindakan wajar akan dilakukan oleh parti itu untuk membela nasib komuniti tersebut. Termasuklah menyenaraikan masalah-masalah mereka melalui Bahagian PBRS Liawan yang diketuai oleh S.Cornelius Lasim, Dean M.Buringkut (Ketua Pemuda) dan Norfadillah Abdullah @ Carol Udang (Ketua Wanita).
Sempena Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Limbawan pada hari yang sama Kurup turut menerima borang keahlian baru sebanyak 315 termasuk 57 keahlian dari masyarakat Iban yang diserahkan oleh Rose Anak Phillip. Hadir sama Timbalan Presiden PBRS, Datuk Ellron Angin.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, beliau berkeyakinan tinggi kawasan pedalaman mendapat perhatian dalam pembangunan kerajaan Persekutuan selain galakan terhadap pelabur untuk berniaga di kawasan tersebut.

Kurup hadiri majlis apasawang











Nabawan : Masyarakat Murut Tagol di Daerah Kecil Pagalungan khususnya mempunyai upacara unik dalam meraikan ulangtahun kanak-kanak. Apasawang , seperti juga upacara meraikan perkahwinan, turut memainkan peranan penting dalam masyarakat Murut dan diraikan secara besar-besaran.
Sanak saudara dari sebelah ibu dan bapa turut di undang untuk bersama-sama meraikan hari ulangtahun. Saudara mara ini tidak datang dengan tangan kosong. Sebaliknya mereka membawa bersama barangan makanan yang digunakan semasa majlis tersebut berupa tapai, jeruk ikan , beras, sagu, rokok, ayam dan sebagainya. Barangan ini kemudiannya akan dijual kepada tetamu. Bagaimanapun tidaklah semahal barangan semasa majlis perkahwinan seperti tinauh.
Apasawang sangat menarik kerana ianya diraikan khusus untuk kanak-kanak dalam sesebuah keluarga. Dan baru-baru ini Timbalan Ketua Pemuda Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) N.38 Nabawan, Busiau Ampirak menganjurkan apasawang untuk enam orang anaknya di Kg.Sinikaulan.
Menurut Busiau, penganjuran apasawang itu antara lainnya untuk memberi galakan dan penghormatan kepada anak-anaknya, selain bertujuan untuk berkumpul bersama sanak saudara.
Sementara itu tetamu kehormat, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup mahu kaum Bumiputera harus sentiasa berbangga dengan keturunan mereka dengan memelihara apa yang mereka miliki seperti budaya dan warisan. Sementara wakil rakyat sentiasa menyokong usaha mereka untuk menjaga dan mengekalkan budaya tersebut.
Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata , kaum Bumiputera khususnya suku kaum Murut di pedalaman mempunyai warisan budaya yang masih tulin yang harus dijaga dan dikekalkan turun temurun.
Kata Kurup yang juga merupakan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, majlis seperti apasawang, juga sangat penting sebagaimana majlis keraian suku kaum Murut seperti ansakoi,tinauh atau ilauh yang bertujuan mengumpulkan saudara mara.
“Apasawang adalah salah satu adat istiadat suku kaum Murut yang sangat penting, dan saya sendiri menyokong majlis seumpama ini untuk terus diraikan dan berterusan”, kata Kurup.
Tambahnya, apasawang mengukuhkan persaudaraan dan mengeratkan silaturahim,juga mengekalkan identiti bangsa Murut.
“Pelihara apa yang kita miliki, apasawang adalah salah satu cara memelihara budaya,” kata Kurup.
Dalam pada itu Kurup juga berasa terharu dan sangat berbesar hati kerana dianggap sebagai saudara oleh masyarakat di kampung itu yang menjemputnya ke majlis apasawang , serta melibatkan diri dengan pembelian barangan hantaran yang dibawa oleh saudara mara penganjur apasawang.
sementara itu, wakil keluarga, Sakampung Dawalis berkata, mereka sangat terharu kerana seorang wakil rakyat sentiasa mendampingi rakyat meskipun majlis seumpama itu bukanlah majlis yang melibatkan perasmian atau majlis pemimpin bersama rakyat.
“Pemimpin tidak seharusnya berjumpa dengan rakyat semasa majlis pemimpin bersama rakyat semata-mata tetapi kehadiran mereka di majlis seumpama ini merapatkan sesama kita,”kata Dawalis.
Majlis apasawang adalah satu majlis keraiaan yang dianjur untuk mengingati hari ulangtahun anak-anak dalam sesebuah keluarga. Dan ianya diraikan secara besar-besaran mengikut adat suku kaum itu.

Kemudahan empangan cabaran baru kepada petani : Kurup

Kurup melancarkan majlis perasmian Pesta Kaamatan Kg.Kepayan Baru, Keningau


Keningau : Petani di pedalaman dijangka akan memberi hasil yang lebih baik setiap kali musim menuai kerana kemudahan untuk mereka semakin baik dan kerajaan sentiasa berusaha menaiktaraf demi meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, petani di kawasan pedalaman yang menerima kemudahan empangan untuk mengairi persawahan mereka sudah pasti mendapat hasil yang lebih baik berbanding sebelum ini.
“Kemudahan ini juga sebenarnya adalah satu cabaran baru kepada petani untuk melipatgandakan usaha mereka , dan semoga hasil padi mereka juga bertambah,” kata Kurup ketika merasmikan Empangan Tali Air Kg.Kepayan Baru, Mukim Sebrang sempena Perayaan Pesta Kaamatan disini. Turut hadir Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga merangkap Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dan Naib Presiden KDCA, Rayner F.Udong.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, empangan yang mengairi kawasan persawahan petani di kawasan itu haruslah dimanfaatkan dengan sebaiknya.
Dalam pada itu Kurup juga menekankan bahawa ibubapa adalah komponen paling penting dalam membentuk generasi muda yang bersikap mulia.
"Jangan lupa terapkan nilai budaya kita yang sangat baik seperti berbudi bahasa dan menghormati kepada anak-anak kita, kerana bangsa kita dikenali dengan sikap sedemikian," kata Kurup yang turut diraikan sempena Hari Bapa disini.

ADUN Sook mahu lebih banyak RT ditubuhkan


Ellron menerima cenderahati berupa parang hasil buatan kampung Penagatan Ulu
dari Pengerusi KRT, Khairil Abdullah

Keningau : Wakil Rakyat Sook , Datuk Ellron Angin mahu lebih banyak Rukun Tetangga (RT) ditubuhkan di Daerah Kecil Sook. Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata, beliau mahu RT diperluaskan di kawasan itu agar rakyat lebih memahami erti perpaduan serta lebih memahami bagaimana kerajaan mengurus pembangunan di sesebuah kampung.

Ellron berkata demikian ketika merasmikan Majlis Juara Perpaduan anjuran KRT Kg.Penagatan Ulu dan Badan JKKK Kg.Penagatan Ulu disini. Turut hadir sama ialah Masri Rayner , Pegawai Jabatan Perpaduan Daerah Keningau.

Hanya terdapat dua buah kawasan Rukun Tetangga ditubuhkan di Kawasan N.37 Sook setakat ini .

Kata Ellron , sehingga kini masih terdapat pemimpin-pemimpin masyarakat tidak tahu bagaimana pengurusan sesebuah pembangunan serta banyak kesilapan dan tafsiran salah berlaku di kalangan pengerusi JKKK serta badan JKKK yang sepatutnya tidak berlaku.

"Masih ada yang punya tanggapan negatif terhadap kerajaan dan wakil rakyat, yang sepatutnya tidak berlaku jika mereka tidak mempunyai persepsi seumpama itu," kata Ellron yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

katanya, persepsi negatif menyebabkan perpaduan tidak rapat, jika berterusan akan menjauhkan pembangunan.

Dalam pada itu Ellron juga meminta penduduk dan rakyat Sook agar turut serta dalam pembangunan RMK 10.

"Kita telah kemukakan pembangunan prpjek-projek kecik RMK10 Sook yang bernilai RM90 juta, saya tidak mahu ada yang tercicir. Jika ada idea dan cadangan jumpa kepada kami," kata Ellron.

4 buah kampung sepakat bangunkan tanah


Keningau: Empat buah kampung di Mukim Lanas dalam Daerah Kecil Sook disini sepakat membangunkan tanah seluas 10 ribu ekar dengan penanamanan kelapa sawit. Persepakatan itu dicapai disini dalam satu mesyuarat bersama Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi-Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta Setiausaha Badan JKKK dari 4 buah kampung yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup.

Wakil Ketua Anak Negeri selaku jurucakap, Jining Lakang berkata, empat buah kampung itu ialah Kampung Sinua, Kampung Tuawon, Kampung Sanaron Tengah dan Kampung Sanaron, mengalu-alukan pembangunan tanah melalui Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) di kawasan itu.

" Pemimpin - pemimpin masyarakat masing-masing mengalu-alukan pembangunan tanah ini, dan kami yakin sebarang masalah yang dihadapi kepentingan kami sebagai penduduk kampung akan dijaga oleh pemimpin atasan ," kata Jining.

Katanya , tiada lain yang kami fikirkan cuma mahu masa depan yang lebih baik untuk masyarakat disini, dan sudah tentunya dengan adanya pembangunan tanah seumpama ini, maka kawasan kami tidak ketinggalan dalam arus pembangunan ujar Jining.

Pengerusi JKKK Kg.Sinua, Robert James berkata, usaha pembangunan itu mereka amat alu-alukan dan mahu penduduk di kawasan itu diutamakan sebagai peserta.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup berkata, persepakatan antara ke empat buah kampung itu adalah satu permulaan yang sangat baik untuk penduduk di kawasan itu.

"Saya akan memastikan kepentingan mereka terjaga dan dilindungi, selain beberapa syarat yang dikemukakan kepada SLDB kita akan bawa itu kepada mereka (SLDB)," kata Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia.

Thursday, June 10, 2010

PKR Sook nafi dakwaan Jabatan Hutan musnahan tanaman

Keningau : Pemimpin Kemajuan Rakyat N.37 Sook, Charles Ikang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai terdapat tanaman dimusnahkan di kawasan Batu 16, Sook yang terletak dalam Hutan Mandalom disini. Sebaliknya tanah di kawasan itu telah dikeluarkan dari status hutan simpan yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui usaha Wakil Rakyat di kawasan itu.

Katanya beliau sendiri menghubungi Pegawai Perhutanan Daerah Keningau mengenai dakwaan tersebut bagi mendapatkan penjelasan.

“Jabatan Hutan menafikan mereka melakukan tindakan seumpama itu , tidak ada pemusnahan tanaman atau merosakkan tanaman sepanjang tahun ini dilakukan di Batu 16 seperti yang didakwa,” kata Charles. Tindakan seumpama itu adalah tidak masuk akal sama sekali kerana tanah di kawasan itu telah dikeluarkan dari tanah Hutan Simpan ujarnya.

Kita kesal dengan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan terdapat tanaman padi diracun dan pokok getah ditolak oleh jentera oleh Jabatan Hutan.

"Wakil Rakyat telah berusaha untuk mengeluarkan tanah itu untuk kegunaan rakyat," ujar Charles. Namun katanya, di kawasan Sook masih terdapat perkampungan yang berstatus Hutan Simpan, namun mereka memahami peraturan dan dasar-dasar kerajaan.

Mengenai status Hutan Mandalom , Charles berkata berpandukan ketetapan dan ingatan yang diberikan oleh Datuk Ellron kepada penduduk di sekitarnya, hanya penduduk asal yang diberi keutamaan untuk memohon tanah , dan memberi amaran tidak melibatkan orang luar dalam permohonan tanah bagi menggelak masalah yang timbul di masa yang akan datang.

“Pengeluaran tanah itu adalah bukti komitmen kerajaan untuk membela nasib rakyat, kita bersyukur kerana kerajaan telah mengeluarkan sebahagian tanah itu untuk digunakan,” kata Charles.

Charles yang juga Setiausaha Pergerakan Pemuda Exco Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata, kerajaan mempunyai perancangan sendiri untuk membangun tanah itu.

Kerajaan Negeri Sabah telah meluluskan mengeluarkan sebahagian tanah dalam Hutan Simpan Mandalom dan Sook Plain untuk kegunaan rakyat di kawasan Sook.

Wednesday, June 9, 2010

Program Sentuhan Kasih Petronas di Sook


Sook (Keningau) : Rakyat di kawasan pedalaman diminta untuk terus berusaha dan bersungguh sungguh mempertingkatkan taraf kehidupan dengan menggunakan faktor persekitaran seperti tanah.

Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin berkata, rakyat di negeri ini dianugerahkan dengan pelbagai hasil bumi dengan tanah yang subur serta alam semulajadi yang begitu indah. Oleh itu katanya, terpulang kepada rakyat untuk menggunakan keistimewaan tersebut untuk menjana pendapatan keluarga.

Ellron yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Petronas Sook disini.

“ Kita harus kreatif dan berpandangan jauh, janganlah kita hanya mengharapkan bantuan daripada orang lain atau kerajaan sahaja, kita sentiasalah kita berusaha dan mencari jalan bagaimana meningkatkan hasil pendapatan kita,” kata Ellron. Namun katanya, kerajaan sentiasa memberi tunjuk ajar dan bantuan kepada rakyat yang mahu berubah dan memajukan diri.

Di majlis itu juga Ellron menyeru kepada ibubapa agar memberi penekanan kepada pembelajaran anak-anak mereka, kerana dengan adanya pelajaran mampu mempertingkatkan taraf hidup seseorang.

Katanya banyak kemudahan disediakan oleh kerajaan dan Petronas juga misalnya memberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar yang layak.

“Oleh itu saya mahu ibubapa di pedalaman menyahut cabaran ini untuk melihat lebih ramai anak-anak kita maju dalam pelajaran mereka ,” kata Ellron.

Pengurus Petronas Wilayah Sabah/WP Labuan, Aishah Otit berkata Majlis Sentuhan Kasih Petronas dilaksanakan di Daerah Kecil Sook pada tahun ini bersempena dengan Perayaan Pesta Kaamatan. Program itu juga adalah merupakan salah satu program kemasyarakatan badan koroprat itu kepada masyarakat di negeri ini.

Sempena program itu seramai 100 penerima sumbangan Sentuhan Kasih Petronas berupa tong gas, dapur dan beras dari sekitar Daerah Kecil Sook yang dikategorikan sebagai golongan miskin tegar. Turut hadir sama Penolong Pegawaiu Daerah Sook , Jasli Tindi.