Monday, March 30, 2009

Warga Emas syukur dapat rumah




Antongos
Nabawan : Sepasang suami isteri warga emas tidak dapat mengungkapkan perasaan terima kasih dan gembira mereka atas pemberian sebuah rumah dibawah Skim Bantuan Rumah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) disini.

Antongos Bungkakan, 64, dari kampong Fontas disini berkata, beliau telah mendiami rumahnya sejak sebulan yang lalu bersama dengan isteri. Beliau yang menghadapi masalah pendengaran itu berkata, dia tidak tahu apa yang hendak diperkatakan lagi selain perkataan terima kasih kepada kerajaan yang telah membina rumah untuknya sekeluarga.

“ Kami selesa berada di rumah ini dan rumah saya juga cantik, ada dua buah bilik , lengkap dengan dapur,” kata Antongos yang ditemui di sini.

Bersyukur dengan pemberian ikhlas kerajaan Barisan Nasional (BN) itu , Antongos juga berkata , sehingga kini rumah beliau masih bergelap kerana tidak mendapat bekalan elektrik kerana meter belum dipasang.

Sebagai penduduk yang tergolong sebagai miskin tegar , Antongos mengakui tidak dapat membayar kos pemasangan meter ke rumahnya, kerana anak-anak beliau juga tidak berkemampuan untuk membantunya. Rumah itu telah dilengkapkan dengan pendawaian elektrik.

“Saya mahu juga menikmati sinaran cahaya elektrik di rumah ini, dan mengharapkan bantuan atau pertolongan agar meter dapat dipasang di rumah ini,” kata Antongos.

Ketika ditanya adakah beliau akan mampu membayar bil jika meter dipasang di rumahnya, Antongos berkata, beliau akan menjimatkan penggunaan elektrik dan berusaha agar bekalan itu tidak akan dipotong.
Pada tahun 2008 , Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) telah meluluskan 100 unit rumah dibawah Skim Bantuan Rumah untuk kawasan Pensiangan yang melibatkan Daerah Kecil Sook dan Daerah Nabawan

Mahu banyak asrama dibina di pedalaman


Keningau : Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) harus lebih lantang bersuara dan memberi idea-idea baru demi kebaikan perkembangan pencapaian pelajar dan sekolah. Peranan dan tanggungjawab PIBG akan lebih mantap jika kesemua pihak saling memberi kerjasama.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Ellron Angin berkata, PIBG tidak dapat lari dari tanggungjawab itu, dan setiap usaha yang mereka lakukan haruslah dengan tindakan yang komited dan bersungguh-sungguh.

Ellron berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SMK Apin Apin. Turut hadir sama Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Vincent Lee dan Pemimpin Kemajuan Rakyat Sook, Charles Ikang.

Kata Ellron , usaha bersepadu harus dilakukan oleh ahli PIBG agar masalah ponteng kelas atau ponteng sekolah dapat diatasi.

Ellron juga mengingatkan ibubapa agar sentiasa menitik berat akan pencapaian akademik dan kokurikulum anak mereka, tanpa menyerahkan sepenuh tanggungjawab di tangan guru.

“ Terdapat juga ibubapa yang percaya bulat-bulat kepada anak mereka tanpa mengetahui anak mereka ponteng kelas dan berada diluar , yang kita sendiri tidak tahu apa kegiatan yang mereka lakukan,” kata Ellron.

Oleh itu kata Ellron tidak salah bagi ibubapa untuk mendapatkan maklumat mengenai anak mereka dengan datang ke sekolah dan bertemu dengan guru.

Sempena mesyuarat agung PIBG itu juga Ellron yang juga Adun Sook berkata, ahli PIBG harus memberi idea – idea yang baru serta bersuara demi kebaikan pelajar dan sekolah itu.

Caption ( apin ) Ellron menerima kertas kerja memorandum untuk pembinaan asrama SMK Apin Apin oleh Justin , diperhatikan Mail ( kanan).

Tuesday, March 24, 2009

BN tidak akan tunduk cabaran pembangkang : MP


Nabawan : Tidak ada sebab untuk Barisan Nasional (BN) untuk tunduk kepada cabaran pembangkang untuk mengosongkan kerusi bagi kawasan Parlimen Pensiangan agar satu pilihanraya kecil dapat diadakan. Mahkamah Persekutuan telah memberi keputusan dan ianya harus diterima dengan hati yang terbuka oleh pihak pembangkang.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup berkata, rakyat lebih penting dari soal tersebut, dan soal siapa jaguh ia adalah terpulang kepada rakyat untuk memutuskan apabila tiba masanya.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, apa yang paling penting ialah kesinambungan pembangunan dan kemajuan untuk rakyat di kawasan Pensiangan yang mengambil masa.

“ Saya tidak akan tunduk kepada cabaran itu, kerana bagi saya rakyat adalah lebih penting. Kita telah menang ( keputusan mahkamah) maka kita harus menumpukan untuk menaiktaraf hidup rakyat,” kata Kurup di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Fontas disini.

Kurup yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, dalam soal siapa jaguh, itu adalah terpulanglah kepada rakyat untuk memutuskannya.

“ Kita perlu bertindak segera untuk mengubah suai kehidupan rakyat di Pensiangan yang dikategorikan sebagai kawasan miskin di Sabah, itu yang kita mahu buat” ujar Kurup.

Oleh itu katanya , kerajaan dan rakyat harus berganding bahu untuk memastikan misi itu mencapai kenyataan.

Pejabat Perhubungan Parlimen sentiasa turun padang


Keningau : Turun padang…Pegawai Perhubungan Parlimen Pensiangan, Raipian Emin, meninjau kerosakan dan menemui mangsa banjir di Kampung Mempulut disini. Turun padang adalah slogan utama Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan agar objektif serta sasaran di peringkat akar umbi tercapai.


Kerosakan kemudahan awam , tanaman dan rumah persendirian adalah antara yang ditinjau , yang kemudiannya laporan yang diselaraskan dengan laporan JKKK diserahkan kepada Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Tan Sri Joseph Kurup untuk tindakan selanjutnya. KKLW telah meluluskan sebanyak 1o buah rumah dibawah Skim Bantuan Rumah untuk mangsa banjir di Mukim Ansip yang terletak dalam kawasan DUN Sook

Tuesday, February 17, 2009

SAPP berbohong






Keningau: Parti Maju Sabah telah membuat pembohongan besar bukan sahaja kepada rakyat di kampung yang terlibat dengan banjir, tetapi juga kepada rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Mempulut, Francis Ampohol Ambirau berkata, majlis yang didakwa SAPP sebagai majlis penyerahan borang keahlian ke parti itu adalah majlis untuk penyerahan bantuan kepada mangsa banjir.
“ Dakwaan ada penyertaan SAPP itu tidak betul. SAPP berbohong , mereka beri surat daftar untuk bantuan itu sahaja…tetapi bila keluar suratkhabar menjadi majlis penyerahan borang keahlian pula. Itu yang berlaku ,” kata Ampohol mengulas kenyataan media baru-baru ini.
Beliau juga menolak dakwaan yang terdapat kira-kira 250 orang sertai parti itu.
“ Tidak ada yang menyertai SAPP di kampung Mempulut, kami menyokong kerajaan yang ada ,” kata Francis. Beliau juga memberitahu majlis SAPP itu tidak mendapat sambutan dari penduduk di kampung itu.
Sementara itu Pengerusi Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung, Kampung Kuala Puntih, Palatus Laboh berkata, tidak benar terdapatnya penyertaan beramai-ramai sehingga ke 250 orang untuk menyertai Parti Maju Sabah (SAPP) seperti yang didakwa oleh parti itu baru-baru ini.
Menurut Palatus, satu majlis diadakan oleh SAPP di Kampung Membulu baru-baru ini dan ianya diwar-warkan sebagai pendaftaran untuk mangsa banjir untuk diberikan bantuan.
Penduduk di Mukim Ansip tidak pernah berpaling tadah dari terus memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) kerana telah dan mahu menikmati terus pembangunan yang diberikan oleh kerajaan.
“ Pada hari yang sama ada penyerahan sumbangan oleh Persatuan Palang Merah dan Kelab Lion di Kampung Ansip. Jadi sudah tentulah ada yang menyinggah ke tempat itu kerana ia bertujuan untuk mendaftarkan mereka yang susah akibat banjir,” kata Palatus.
Beliau berkata ramai yang terkejut kerana dikatakan menyertai parti itu.
“ Tidak ada borang yang disediakan cumalah borang pendaftaran untuk mangsa banjir. Tetapi sehinggalah majlis itu selesai tidak ada satu pun bantuan yang diberikan,” kata Palatus.
Kenyataannya kata Palatus ialah majlis yang diadakan itu menawarkan bantuan kepada mangsa banjir.
Menurut Palatus sesiapapun dengan niat yang ikhlas tidak mengira persatuan atau parti , rakyat akan menerimanya tidak kira ia adalah dari pembangkang atau kerajaan.
Beliau ditemui di majlis penyerahan bantuan zink dan wang tunai kepada mangsa banjir di kampong Kuala Puntih disini yang diadakan oleh Biro Kebajikan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Sinin , penduduk dari Kampung Membulu berkata, dua orang anak beliau yang kebetulan pulang ke kampong ada menghadiri majlis tersebut, dan ianya bukan majlis penyerahan atau pendaftaran keahlian borang SAPP seperti yang didakwa.
“ Anak-anak saya ( bekerja di Kota Kinabalu) sangat terkejut membaca suratkhabar kerana didakwa antara 250 orang yang menyertai SAPP dalam pertemuan itu,” kata Sinin yang ditemui di majlis yang sama.
“ Dakwaan SAPP itu tidak berasas sama sekali. Menurut anak-anak saya mereka diberitahu ada pemberian bantuan untuk mangsa banjir , dan mereka diminta untuk mendaftar,” kata Sinin.
Namun katanya selepas majlis itu selesai tidak ada satu pun bentuk bantuan yang diberikan oleh SAPP yang dihadiri oleh Timbalan Presidennya, Datuk Eric Majimbun.
Difahamkan majlis tersebut kurang mendapat sambutan, namun atas usaha dan membuat taktik yang dilakukan oleh pemimpin peringkat kampung di kawasan itu, ramai yang terpedaya.

Ops Klien Projek CARI bermula di Pensiangan

















Gambar- gambar sekitar pendaftaran Ops Klien Projek Cari oleh Jabata Kebajikan dan Biro Kebajikan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)
Keningau : Seramai 478 orang telah berjaya didaftarkan dalam Ops Klien Projek Cari Jabatan Kebajikan Bahagian Keningau dengan kerjasama bersepadu antara Biro Kebajikan Parti Berstau rakyat Sabah (PBRS) dan Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan untuk tiga mukim dalam kawasan Sook disini.

Penolong Pengarah Bahagian, Ali Hassan Kahar berkata, jumlah tersebut melibatkan tiga mukim dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook di Mukim Sebrang, Mukim Ansip dan Mukim Dalit.
Menurutnya secara keseluruhanya beliau menjangkakan lebih kurang 2000 orang akan didaftarkan melalui projek Cari tersebut di kawasan pedalaman yang begitu mencabar kerana kampung-kampung yang berjauhan dan menghadapi perhubungan.

Katanya operasi pendaftaran Projek Cari itu akan terus diteruskan sehingga ke Nabawan pada minggu hadapan, melibatkan 36 kakitangan Pejabat Kebajikan. Sempena program itu juga pihak Jabatan Kebajikan turut membawa bersama mesin fotostat, alat pengimbas serta kamera untuk mengambil gambar klien yang datang.

Ali yang ditemui di Balai Raya Kg Dalit dalam gerakan pendaftaran itu berkata, ramai yang datang mendaftar terdiri dari golongan tua dimana skim Bantuan Orang Tua untuk golongan itu tersedia.

“Kita juga mengesan golongan cacat yang memerlukan bantuan melalui pendaftaran ini , sama ada kita naik sendiri ke rumah mereka atau yang tampil ke pusat-pusat pendaftaran,” kata Ali. Sebelum ini kata Ali beliau menjangkakan kemungkinan kesukaran di Parlimen Pensiangan kerana kedudukan kawasan itu, namun beliau amat berterima kasih kerana mendapat kerjasama dengan Biro Kebajikan PBRS dan Pejabat Perhubungan Parlimen Pensiangan.

“ Gerakan pendaftaran ini akan berterusan sehingga Ops Siri 2/2009 April ini” kata Ali.

Menurut beliau Jabatan Kebajikan juga masih menerima borang-borang Projek Cari dan ianya harus diserahkan oleh Pengerusi JKKK di kampung masing-masing.

“ Kepada yang belum mengisi borang ini mereka masih berpeluang dan ianya ada kesinambungan,’ katanya. Bagi mereka yang telah selesai mendaftarkan diri kata Ali, mereka akan melalui 3 tapisan dan jangkaan untuk keputusan kelulusan program itu ialah selama 30 hari.

Gerakan pendaftaran Projek Cari akan diteruskan di daerah Nabawan pada 23-26 Februari bermula di Mukim Sepulut. Gerakan yang sama turut diadakan di Tambunan, Tenom dan Sook.

Monday, February 9, 2009

PEMIMPIN MASYARAKAT SOOK MAHU KURUP DICALONKAN, TOLAK ISU KAUM















Keningau : Para pemimpin masyarakat di kawasan Sook disini menolak isu calon kaum dan bersatu padu menyokong agar Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) , Tan Sri Joseph Kurup dicalonkan semula sekiranya pilihanraya kecil bagi Parlimen Pensiangan diadakan sebaik Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dalam masa yang terdekat ini.
Dalam satu pertemuaan dengan para pemimpin masyarakat terdiri dari Ketua Daerah, Ketua –Ketua Anak Negeri, Wakil-Wakil Ketua Anak Negeri, Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-Pengerusi JKKK disini bersama dengan Ahli Parlimen Pensiangan disini. Kurup yang merupakan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berkata, banyak perancangan kerajaan Persekutuan telah dirangka dan dirancang untuk membangun dan memajukan kawasan itu.
Kurup juga menafikan tidak ada pembangunan yang dibawa beliau ke kawasan Sook sebelum ini, dan menyifatkan dakwaan itu berniat jahat. Katanya, beliau juga sentiasa bersama dengan rakyat sejak dari dulu dan telah menyelesaikan masalah rakyat terutamanya berkaitan dengan soal tanah.
Pada pertemuan itu juga satu tayangan slaid mengenai pembangunan infrastuktur, sosio ekonomi, pendidikan, social yang telah dilaksanakan oleh Kurup. Tayangan itu turut membuka mata sebahagian pemimpin masyarakat tentang pembangunan yang berlaku di sekitar kawasan mereka.
Noritah Abdullah , PJKKK Kg Rancangan Belia Tiulon menyifatkan, Kurup adalah seorang wakil rakyat yang diibaratkan sekuntum bunga yang mekar, yang perlu diberi peluang untuk meneruskan perancangan pembangunan di Pensiangan.
“Tempoh beliau yang belum setahun jagung tetapi kita sudah nampak perubahan, apalagi jika ia sepenggal,” kata Noritah. Beliau berkata Kurup berkeupayaan dan berpengalaman, sehinggakan kawasan Pensiangan yang jarang dilawati menteri persekutuan kini menjadi tumpuan.
Saingon Gadus, dari Kampung Simbuan berkata , rakyat di Sook menolak isu suku kaum calon Barisan Nasional (BN), kerana apa yang paling penting ialah calon tersebut memenuhi kriteria dan berwibawa. Lagipun katanya kawasan Parlimen Pensiangan harus dipertahankan kerana kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang besar untuk kawasan luar Bandar.
Bagi Ketua cawangan UMNO Kg Binuwo Tengah yang juga Pengerusi JKKK, Norhaidar Kasiman berkata, Kurup harus diberi peluang jika ada pilihanraya kecil diadakan di kawasan itu, memandangkan beliau belum menjalankan sepenuhnya tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen
“Mari kita uji dia pada penggal ini dan beri peluang kepada beliau. Bagi Umno kami tiada masalah untuk menyokong Kurup,” kata Norhaidar.
Frankie Towok Tatoi dari Kg Tuawon berkata, suku kaum calon BN tidak penting dan bukannya keutamaan, yang penting katanya ialah pemimpin yang boleh membawa masalah rakyat ke peringkat Persekutuan.
“ Kita di Pensiangan sudah cukup berterima kasih kerana diberikan peranan dalam cabinet persekutuan, ini adalah satu penghargaan dan kita mesti pertahankan,” kata Towok.
Kesemua pemimpin masyarakat di Sook menolak isu kaum calon dan menyifatkannya sebagai tidak penting.