Monday, May 17, 2010

Sook banyak berubah dari kawasan terpencil kepada kawasan membangun : Kurup

Kurup melawat pameran meskipun dalam keadaan hujan. Lawatan itu beri semangat
kepada pengendali pameran dan penjual semasa perayaan
.
Keningau : Daerah Kecil Sook kini semakin membangun dan telah mengalami perubahan yang ketara sejak tahun 1985. Malahan daerah terpencil itu kini memiliki pusat pentadbiran sendiri dan adalah sebuah daerah yang sedang berkembang.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup berkata, dari tahun ke tahun daerah Kecil Sook sentiasa menerima perubahan dan pemimpin juga sentiasa menitikberatkan keperluan dan keutamaan rakyat.
Kurup yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkata demikian ketika berucap merasmikan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Kecil Sook di Dewan Masyarakat Sook disini. Beliau yang juga mantan ADUN Sook mengingatkan rakyat bahawa Barisan Nasional (BN) melalui Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) telah bekerja keras memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan itu terjaga.
Kata Kurup usaha kerajaan untuk memberi bekalan elektrik kepada penduduk kawasan luar bandar itu juga diteruskan dan pada tahun ini sebanyak 21 buah kampung akan menerima bekalan elektrik. Kawasan Sook yang berbukit-bukit serta kampung yang berjauhan antara satu yang lain bukan penghalang kepada pembekalan elektrik itu untuk tiba ke kampung-kampung yang terpencil.
Menurut Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan, sebanyak 120 buah kampung terdapat di Sook damn setakat ini sebanyak 74 buah kampung sudah mendapat bekalan elektrik.
“ Projek pembekalan akan diteruskan secara berperingkat sehingga kawasan Sook menerima bekalan elektrik sepenuhnya,” kata Kurup. Turut hadir sama ialah Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta Penolong Pegawai Daerah Kecil Sook, Jasli Tindi. Pembekalan itu termasuk bekalan air bersih.
Oleh itu kata Kurup, adalah tidak benarlah kononnya kepimpinan kami (PBRS) mengecewakan dan kononnya tidak ada pembangunan di kawasan tersebut.
Kata Kurup, kerajaan juga telah banyak membantu rakyat seperti golongan kurang upaya dan warga emas
“Kami berusaha untuk memberi rumah kepada orang-orang yang tidak ada kemampuan untuk memiliki rumah. Tahun lepas sebanyak 71 orang mendapat rumah secara percuma melalui Projek Bantuan Rumah (PBR) dan tahun ini sebanyak 50 unit akan disalurkan,” kata Kurup.
Atas keprihatinan Kerajaan juga seramai 1,072 golongan kurang bernasib baik termasuk bantuan orang tua dan ibu tunggal setakat diberikan.
“Masa perayaan atau dalam masa apa jua pun kami selaku pemimpin sentiasa mengingati golongan ini , dan berharap sangat agar mereka turut sama bergembira bersama dalam perayaan seperti ini,”. Ujar Kurup dan meminta rakyat di kawasan itu sentiasa seiringan dengan kerajaan agar perancangan pembangunan di daerah itu berterusan.

No comments: