Saturday, May 21, 2011

RM3.75 juta peruntukan jalan sejauh 56km Pengaraan-Karamatoi

Kurup dan Ellron membawa rombongan dari Jabatan Perdana Menteri melihat sendiri jalan yang dipohon oleh wakil rakyat sehingga ke Kg.Lumiri,Sook.

Keningau : Penduduk kampung yang jauh di pedalaman Sook danNabawan kini boleh menarik nafas lega. Ini kerana jalan yang menghubungkan penduduk itu untuk ke pekan berhampiran bakal diperbaiki termasuklah pembinaan jambatan baru.
Ini berikutan usaha Ahli Parlimen Pensiangan, Tan Sri Joseph Kurup yang mengemukakan masalah jalan raya di kawasannya kepada Perdana Menteri baru-baru ini. Kawasan yang terbabit ialah Kg. Pengaraan-Binanun-Lumiri-Mamagun-Bonor dan Karamatoi bakal berubah wajah apabila jalan raya dinaik taraf (bukan aspal) dan jambatan jambatan akan diperbaiki.Peruntukan itu melibatkan jalan raya sejauh 56km dan 7 buah jambatan.
Kurup yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, yang membuat pemantauan jalan baru-baru ini bersama sama dengan Jabatan Kerja Raya telah menghabiskan masanya meninjau jalan-jalan yang menjadi perhubungan utama penduduk kampung di kawasannya, termasuk membantu sebuah lori dan keluarga yang kandas di tengah hutan akibat jalan yang rosak.
Tidak membuang masa dengan keadaan itu beliau membawa masalah itu kepada Perdana Menteri di Putrajaya. Dan hasilnya sangat memuaskan apabila Perdana Menteri memberi peruntukan kilat untuk memperbaiki jalan-jalan terbabit.
Bagaimanapun, Kurup, tidak menghebahkan peruntukan tersebut sehinggalah rombongan dari Pejabat Perdana Menteri datang bersamanya melawat kampung-kampung yang terlibat.
Baru-baru ini Kurup dan Wakil Rakyat Sook, Datuk Ellron Angin membawa Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Hj.Shukry Mohd Salleh dan Dato Ahmad Zaki AnsoreMohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah , Sektor Penyelarasan Projek Khas untuk sama-sama melihat keadaan jalan yang dilapor Ahli Parlimen.
Dalam ucapannya, Shukry mewakili Perdana Menteri mengucapkan syabas atas keprihatinan wakil rakyat membawa masalah rakyat. Beliau juga memuji usaha wakil rakyat di kawasan luar Bandar yang tidak pernah berputus asa mendapatkan peruntukan untuk kemudahan rakyat di kawasan mereka.
Pembaikan jalan serta jambatan itu menelan belanja RM3.75 juta yang akan dilaksana oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) serta merta dan jika tiada masalah cuaca akan siap menjelang Ogos ini.

No comments: