Tuesday, May 3, 2011

Ulang Tahun PBRS ke 17

Bersatu...PBRS kini berusia 17 tahun di persada politik Sabah.



Keningau : Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyambut ulangtahun ke 17 dalam suasana sederhana namun cukup bermakna. Majlis sambutan itu disambut di sebuah hotel di daerah pedalaman dengan dihadiri oleh perwakilan dari seluruh negeri.

Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup berkata, PBRS telah melalui lebih banyak peristiwa pahit berbanding manis namun parti itu cukup tabah dalam perjuangannya kerana pegangan teguh kepada perlembagaan serta kepercayaan terhadap keadilan dan kebenaran, yang membuat parti itu terus berada pada hari ini.

Kurup berkata, parti itu telah memainkan peranan paling besar dalam usaha BN semasa ia menghadapi cabaran mengambil tampuk pemerintahan kerajaan Sabah pada tahun 1995. Ini termasuklah berhadapan dengan sentimen anti federal atau anti BN pada masa ketika itu yang memuncak. Namun PBRS, tetap memberi sokongan kepada BN kerana memikirkan nasib untung rakyat jika berpisah dengan kerajaan Persekutuan.

“Kerana peranan kita serta sumbangan yang diberikan kepada kita maka kerajaan BN wujud di Sabah, dan kini merupakan gabungan parti yang cukup kukuh dan kuat di negeri ini,” kata Kurup, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Beliau juga berkata bahawa parti itu dilabel sebagai parti kecil namun kata Kurup, jika parti itu diberi kerusi tambahan dalam pilihanraya yang akan datang, parti itu mampu menawan kawasan yang diperuntukkan (selain DUN Sook dan Parlimen Pensiangan).

Namun kata Kurup,sepanjang 17 tahun itu banyak peristiwa yang berlaku termasuklah nama baik parti itu tercemar dalam sejarah politik Malaysia. Termasuklah usaha pada peringkat awal parti itu diwujudkan dicemari dengan usaha membubarkan parti itu. Meskipun begitu kata Kurup parti itu terus berjuang dan kekal sehingga kini.

Bagaimanapun katanya, parti itu tidak dapat lari dari merasa terpinggir dan dianak tiri kerana telah mengalami banyak kehilangan. Antaranya jawatan senator, menteri, setiausaha politik dan ahli lembaga yang telah diambil alih oleh parti komponen dalam BN.

“Jika dibandingkan dengan parti PPP dan parti Gerakan, parti PBRS mendapat layanan yang berbeza ,” kata Kurup. Turut sama Timbalan Presiden , Datuk Ellron Angin, Ahli Majlis Tertinggi serta pergerakan wanita dan pemuda pusat.

Beliau juga turut meminta kerajaan negeri Sabah untuk mengambil tindakan terhadap Timbalan Speker yang disandang oleh seorang pemimpin pembangkang dan mengembalikan jawatan itu kepada PBRS, yang dahulunya adalah kuota PBRS.

“Salah seorang pemimpin pembangkang bergerak menjatuhkan pemimpin BN di kawasan pedalaman, dan semasa pilihanraya kecil di Batu Sapi beliau berkempen keras menjatuhkan kerajaan BN, tapi malangnya tidak ada tindakan dibuat ke atas orang ini yang menggunakan kemudahan yang diberikan kerajaan kepadanya untuk memburukkan kerajaan malahan menjatuhkan kerajaan yang ada,” kata Kurup.

Kata Kurup, beliau yakin Ketua Menteri yang mempunyai majority yang besar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) akan membawa usul ke dalam persidangan dan anamoli itu akan disokong oleh PBRS.

Beliau seterusnya menekankan bahawa PBRS adalah ibarat air yang dicincang tidak akan putus dan terus setia bersama BN.

Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata, beliau bersyukur dengan keaktifan ahli-ahli yang terus memperkukuhkan PBRS dan atas kesedaran mereka terhadap perjuangan murni PBRS maka banyak petanda parti itu terus relevan dan menerima keanggotaan dari seluruh negeri termasuklah penubuhan bahagian-bahagian baru di kawasan pantai timur.

No comments: